Menu

 

A+ A A-

AMAL + IKHLAS = ROH + NYAWA

LAYAKKAH kita mendambakan balasan syurga dengan amalan-amalan yang kita lakukanseharian? Sememangnya tujuan kita dijadikan Allah s.w.t. semata-mata untuk beribadah kepada-Nya. Namun, hanya Allah sahaja yang dapat mengukur sejauh mana keikhlasan kita beribadah.  Sekalipun seseorang itu ahli ibadah, rahmat Allah itu tidak mungkin terbalas dengan segala amalan ibadah yang dilakukan.

Allah Melihat Hati Kamu 

Keikhlasan dalam beribadah bertitik tolak daripada niat seseorang itu mengerjakan ibadah tersebut. Rasulullah s.a.w. bersabda dalam hadisnya yang bermaksud: “Sesungguhnya segala perbuatan yang dilakukan itu dengan niat, dan sesungguhnya tiap-tiap manusia apa yang diniatkannya. Sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu kepada Allah dan Rasul-Nya dan sesiapa yang hijrahnya kepada dunia yang ia ingin memperolehnya atau kepada perempuan yang hendak dinikahinya maka hijrahnya itu kepada apa yang ia inginkan.”

Dalam sebuah hadis yang lain, Nabis.a.w. mengingatkan kita dengan sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa dan harta kamu tetapi sesungguhnya Allah melihat kepada hati dan amal ibadah kamu.” Melalui hadis ini, jelas Allah melihat hati manusia untuk menilai dan menentukan amal ibadat yang sebenarnya.

NYAWA

Umpama Menanam Pokok Reput

Ikhlas ialah landasan yang kukuh bagi setiap yang melaksanakan pelbagai amalan kerana ia umpama akar bagi pokok yang ditanam.  Sesuatu kerja yang tidak keluar dari hati yang ikhlas, pasti tidak menghasilkan buah. Bahkan mungkin akan merugikan diri sendiri kerana pokok itu akan tumbang pada bila-bila masa tanpa diduga. Orang yang bekerja tanpa keikhlasan umpama menanam pokok yang reput dan bakal tumbang kerana dia lupa kepada tujuan dan matlamat pekerjaannya. Dia hendaklah mengingatkan dirinya bahawa setiap amal tanpa keikhlasan pasti tidak menghasilkan pahala di sisi Allah.

Al-Imam al-Qushairi menerangkan bahawa, ikhlas itu ialah mengerjakan ibadah kerana ingin mendekatkan diri kepada Allah s.w.t., bukan untuk mencari perhatian orang lain ataupun melakukan sesuatu perkara selain daripada mendekatkan diri kepada Allah.  

Keikhlasan hati menjadi pedoman kepada seseorang penuntut ilmu dan setiap Muslim dalam pekerjaan. Mereka tidak mudah patah semangat atau berputus harap di tengah jalan dan tidak akan berpuas hati sebelum pekerjaan yang dilaksanakannya itu berhasil sepenuhnya. Mereka teguh pendirian dan kemahuan serta tidak akan tersinggung lantaran celaan dan kritikan orang lain. Mereka juga tidak sombong kerana menerima pujian, tidak bangga dek cemerlang dalam peperiksaan atau mendapat kedudukan yang baik. Mereka tetap berusaha dengan ikhlas sehingga tercapai yang dicita-citakan kerana mereka mengharapkan keredaan Allah yang tidak ada batasannya.

Orang Ikhlas Terselamat

Sesuatu amal yang dikerjakan dengan ikhlas akan kukuh, meskipun amal itu terpaksa juga tumbang kerana dilanda zaman tetapi kesannya tetap kekal abadi. Oleh kerana itu, sifat ikhlas dalam beribadah amat penting dan merupakan senjata yang tidak luntur bagi menghadapi gangguan syaitan sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Iblis berkata, wahai Tuhanku oleh sebab Engkau telah memutuskan aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang perbuatan baik di muka bumi ini, dan pasti aku akan menyesatkan mereka kecuali hamba-hamba-Mu yang mengerjakan amal ibadat dengan penuh keikhlasan.” Beramal dan beribadah perlu kepada keikhlasan dan kejujuran kerana itulah yang menjadikan amalan itu kekal abadi, sempurna lahir dan batin.

Ikhlas menduduki tempat seperti roh atau jiwa sesuatu makhluk. Sesiapa yang beramal tanpa keikhlasan, maka amalan yang ditunaikan itu seumpama jasad yang tiada roh dan tidak bernyawa. Sabda Rasulullah s.a.w. lagi, maksudnya: “Allah tidak menerima amalan melainkan amalan yang dikerjakan dengan tulus dan ikhlas dan bertujuan mendapat keredaan-Nya.”

3

Mahfuzah Omar
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No.10


Mahfuzah Omar

B.A (HSc) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Pernah bertugas sebagai editor penerbitan di Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas